Showing posts with label isu semasa. Show all posts
Showing posts with label isu semasa. Show all posts

Wednesday, June 29, 2011

Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab


Salam Maal Hijrah
1. Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.
2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :
- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).
- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
1. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
11. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.
111. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.
1v. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
v1. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
v11. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
11x. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
1x. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
x. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
5. Selepas Mikraj
Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.
(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam..
SUMBER:
http://fullfilth.blogspot.com

Pemanasan Global Kesan Kepada Kita

RAMAI mengeluh cuaca sekarang semakin panas. Kepanasan matahari semakin terik terutama pada tengah hari. Mereka turut mengaitkan kemungkinan kepanasan itu balasan kepada manusia kerana sering melakukan kerosakan di muka bumi.


Pandangannya itu mungkin benar dan tidak tetapi apa yang nyata kerosakan yang dilakukan manusia ke atas bumi memang tidak dapat dinafikan sejak berabad lalu. Penebangan hutan secara tidak terkawal, pencemaran industri, penggunaan bahan bakar fosil secara berleluasa dan pelepasan gas rumah hijau antara contoh ‘kerosakan’ yang dilakukan manusia hingga memberi kesan terhadap bumi.

Berdasarkan laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC), suhu dunia diramal meningkat daripada 1.1 darjah Selsius kepada 6.4 darjah Selsius antara 1990 dan 2100. Jika ramalan itu menjadi kenyataan, bumi akan semakin panas dalam tempoh seabad lagi dan mungkin tidak selamat lagi. Ini berikutan pemanasan global mempunyai banyak kaitan dengan pelbagai bencana alam. Kenaikan suhu itu boleh mencairkan ais di kutub dan meningkatkan paras air laut. Risiko banjir besar boleh berlaku jika perkara itu berlaku, malah beberapa kepulauan kecil boleh tenggelam. Beberapa kawasan lain yang beriklim panas pula menerima taburan hujan yang banyak tetapi tanah di situ menjadi lebih cepat kering disebabkan penyejatan air yang berlaku dengan cepat. Kerosakan akan berlaku ke atas tanaman dan haiwan menyebabkan bekalan makanan berkurangan di beberapa tempat di dunia.

Akhbar melaporkan kajian terbaru IPCC mendapati suhu purata Malaysia dianggarkan meningkat antara 0.6 darjah Selsius hingga 4.5 darjah Selsius menjelang 2060. Kajian itu turut menyebut kawasan pantai dan penempatan seluas 1,200 kilometer persegi akan tenggelam jika langkah pencegahan awal diabaikan berikutan pemanasan global yang menyebabkan peningkatan paras laut.


Dalam ucapan perasmian Forum Kesan Pemanasan Global Ke atas Strategi Pengairan di Malaysia, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, dilaporkan berkata secara kasar, senario pemanasan global dijangka meningkatkan suhu 4.5 darjah Selsius dengan pengurangan 10 peratus hujan sekali gus mengurangkan kadar penerimaan air antara 13 peratus dalam musim tengkujuh dan 53 peratus musim kemarau. “Peningkatan aras laut pula mampu menghasilkan gelombang ganas yang mengancam garis pantai dan struktur hakisan pantai, pemusnahan zon penampan paya bakau yang mengakibatkan kerosakan habitat asli serta kehidupan akuatik seperti ketam, ikan, udang, flora dan fauna. “Cendekiawan juga menganggarkan lebih ramai orang akan terkena penyakit atau mati kerana tekanan cuaca panas dengan wabak penyakit yang biasa ditemui di daerah tropika seperti disebabkan nyamuk atau haiwan pembawa penyakit lain,” katanya.

Kebimbangan sama turut disuarakan Pengarah Hal Ehwal Iklim Universiti Malaya (UMCCA), Profesor Dr Khairulmaini Osman Salleh, ketika membentangkan kertas kerja Fenomena El Nino di Masjid Kariah Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini. Beliau berkata, suhu bumi yang kian meningkat mengakibatkan kehidupan menghadapi satu ancaman besar berikutan berlakunya bencana alam lebih kerap dengan tempoh semakin meluas. Menurutnya, sebanyak 95 peratus punca suhu bumi yang semakin meningkat itu mempunyai kaitan dengan aktiviti manusia, terutama membabitkan penggunaan bahan bakar fosil. “Sejak 10 tahun kebelakangan ini, manusia semakin terancam berikutan bencana kerap berlaku. Taufan, banjir, kemarau dan wabak penyakit berkaitan alam sekitar semakin kerap dan ancamannya bertambah meluas. “Senario pemanasan global turut menggiatkan kesan El Nino, terutama membabitkan kejadian kemarau dan banjir. El Nino akan mempengaruhi iklim dunia mengakibatkan sesetengah tempat kemarau manakala sesetengah lagi banjir,” katanya. Beliau berkata, El Nino merujuk kepada pemanasan tempatan di pinggir Peru dan Equador di Amerika Selatan serta perubahan suhu permukaan laut di Lautan Pasifik Khatulistiwa. “El Nino berlaku dalam selangan tiga ke tujuh tahun apabila suhu permukaan laut di bahagian barat Lautan Pasifik jatuh beberapa darjah Selsius manakala di timur Lautan Pasifik naik beberapa darjah Selsius. 



Tempoh berlaku El Nino antara 12 hingga 18 bulan merangkumi permulaan, pertumbuhan, kematangan dan kereputan. “Kejadian itu adalah peristiwa semula jadi di Lautan Pasifik dan kebiasaannya selepas El Nino, La Nina atau musim sejuk atau musim biasa akan datang,” katanya yang juga Profesor Jabatan Geografi Universiti Malaya. 

El Nino yang berlaku pada 1997 dan 1998 dikatakan paling besar pada kurun ke-20 apabila suhu permukaan lautan naik lima hingga enam darjah Selsius. “Pada 2006, El Nino tidak kuat, bagaimanapun ia bukan bermakna kejadian lebih besar tidak boleh berlaku tetapi kita tidak tahu bila masanya kerana teknologi sekarang hanya mampu meramal untuk jangka masa pendek. “Lebih membimbangkan, trend kejadian El Nino sejak 50 tahun kebelakangan ini menunjukkan sifat peningkatan suhu permukaan laut,” katanya. Dr Khairulmaini berkata, pengkaji juga bimbang dengan pola kejadian El Nino yang semakin bertambah kuat dan tidak dapat menjangkakan bila ia akan berlaku. Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini, ramalan mendapati kekuatan El Nino menurun sehingga lewat Mac ini saja. “Selepas itu kita tidak tahu, mungkin ia seteruk 1997 atau lebih buruk lagi kerana senario kepanasan bumi yang semakin meningkat.

Peristiwa semula jadi itu akan memberi kesan kepada kesihatan, pertanian, perhutanan, sumber air, pinggir laut dan ekosistem serta habitat,” katanya. Menurutnya, kesedaran mengenai ancaman itu perlu disampaikan kepada masyarakat supaya mereka bersedia dan dapat bertindak berdasarkan keadaan tertentu. “Masyarakat perlu diingatkan supaya berhati-hati dan bersedia menerima kesan El Nino. Masalah komunikasi dan tindakan susulan perlu diatasi agar orang ramai sedar dan mampu bertindak jika berada dalam situasi tertentu,” katanya.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Murtadza Ahmad, pula berpendapat, doa adalah persediaan terbaik dalam menghadapi apa jua ujian Allah seperti bencana alam. “Rasulullah sendiri membuktikan bahawa solat, doa dan dengan izin Allah, masalah kemarau dan banjir dapat diatasi,” katanya. Menurutnya, maksud Surah al-Taghabun 64:11 iaitu ‘Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu’ memberi kesimpulan nyata kepada umat Islam. “Umat Islam perlu kembali mentaati agama dan menjauhi maksiat. Melakukan ibadat berterusan dan banyak berdoa kepada Allah dalam menghadapi ujian,” katanya.

Bagi Penulis, Isu Pemanasan Global atau Global Warming perlu diambil berat bagi setiap manusia sejagat yang ada di dunia ini. kita perlu bendung fenomena ini dari berlaku pada kita ATAUPUN terhadap anak atau cucu cicit dan keturunan kita nanti. Bumi kita dah menderita akibat kekejaman kita dan sifat tamak kita terhadap bumi kita ini. Jadi.. fikir-fikirkanla..

Thursday, June 23, 2011

Tips Penjimatan Tenaga Elektrik di Rumah & Pejabat



Morning peeps! ok sempena ngan kenaikan tarif elekrik yang diumukan baru-baru ni sy nak share sikit tips2 nak jilatkan penggunanaan tenaga elekrik kat rumah & pejabat. So lepas ikut tips-tips ni harapnye bil bulanan tu makin berkurang la yer.. =)

Penapis penghawa dingin mesti dibersihkan dengan kerap. Aliran udara yang senag mengurangkan penggunaan tenaga.

Lakukan Audit tenaga di rumah. Ini dapat menjamin system pendawaian yang betul di rumah dan pejabat.

Kompresor mesti dibersihkan, gunakan hos getah (pastikan bekalan elektrik telahpun dimatikan). Pastikan tumbuhan berada 1 kaki daripada kompresor.

Tutup lampu pada waktu siang.

Bagi rumah yang mempunyai tanah, tanam pokok-pokok untuk teduhan. Teduhan daripada pokok-pokok dapat mengurangkan kesan pemanasan kepada rumah.

Gunakan kipas siling untuk aliran udara. Pengurangan dalam penggunaan tenaga. Aliran udara semulajadi juga boleh digunakan.

Set kipas pada penghawa dingin kepada “ON” daripada “AUTO”. Pengaliran udara yang sekata dapat mengstabilkan suhu udara dalam bilik.

Adalah penting untuk membeli alat penghawa yang bersaiz betul untuk kegunaan. Unit yang besar akan menggunakan lebih banyak tenaga dan tutup/buka secara kerap.

Setkan suhu penghawa dingin di antara 24°C hingga 26°C, rendah  (24°C) semasa cuaca panas dan tinggi (26°C) pada musim hujan. Gunakan aliran udara semulajadi di mana mungkin.

Suhu pemanas air boleh ditetapkan di antara rendah dan sederhana untuk menjimatkan tenaga.

Gunakan penyembur air yang jimat air, air yang kurang bermakna penggunaan tenaga yang kurang.

Perbaiki paip yang bocor, terutamanya jika melibatkan perkakas air panas.

Mandi adalah lebih baik daripada merendam dalam tub mandian. Lebih banyak air panas digunakan lebih banyak pembaziran tenaga.

Peralatan dapur yang kecil membantu mengurangkan penggunaan tenaga. Terdapat peralatan yang mengguna 75% tenaga kurang daripada oven yang besar.

Koil peti sejuk mesti di vakum sekurang-kurangnya 2 kali setahun untuk memastikan kompresor berfungsi dengan baik.
30% udara sejuk akan terlepas setiap kali pintu peti sejuk di buka. Keadaan yang sama untuk oven.

Jangan melebihi muatan peti sejuk, udara sejuk perlu mengalir dengan bebas untuk memastikan makanan di simpan pada suhu yang betul.

Letakkan peti sejuk supaya pintunya akan tutup secara automatik apabila dibiarkan terbuka. Ini akan mengelakkan pembaziran tenaga.

Magnet pintu peti sejuk mesti diperiksa. Letakkan duit Satu Ringgit dan tutup pintu. Jika duit kertas ini boleh di tarik, anda perlu menukar magnet ini (gasket).

Gunakan kemudahan cuci sendiri oven sejurus selepas memasak, apabila oven masih panas. Ini mengelakkan mesa yang panjang untuk pemanasan semula.

Tutup periuk atau kuali untuk mengurangkan masa memasak, dan letakkan periuk atau kuali mengikut saiz pembakar.

Cuci pakaian dalam muatan penuh. Pastikan aras air di set pada aras yang betul.

Sentiasa gunakan air sejuk untuk mencuci pakaian, air panas hanya perlu digunakan untuk pakaian yang terlalu kotor sahaja.

Elakkan penggunaan pengering pada hari yang cerah, kita dikurniakan dengan cahaya matahari yang banyak. Ultraviolet daripada cahaya matahari membunuh kuman.

Lampu floresen kompak menggunakan 75% tenaga kurang daripada lampu floresen biasa dan mempunyai jangka hayat 10 kali juga. Penukaran kepada lampu ini, menjimatkan tenaga juga.

Tutup lampu dan peralatan elektrik apabila bilik atau kawasan tertentu tidak digunakan.

Bersihkan lampu dengan kerap. Lapisan habuk boleh melitupi sehingga 50% pengeluaran tenaga.

Warna yang cerah memantul lebih banyak cahaya. Merancang perhiasan dalaman rumah dan pejabat boleh membantu penjimatan tenaga.

Keluarkan plug bagi peralatan elektrik yang tidak digunakan. Kebanyakan peralatan ini, terutamanya komputer, TV dan VCR mengambil tenaga elektrik walaupun suisnya telah ditutup.

Jika dinding di rumah atau pejabat tidak di tebat, gunakan perkakas berat seperti rak-rak buku, dan sofa untuk diletakkan sekitar kawasan ini. Ini akan membantu mencegah kemasukan haba daripada luar dan kehilangan kesejukan dari dalam bangunan.

Jika anda keluar dari rumah untuk jangkamasa yang panjang, pastikan untuk menutup semua perkakas elektrik yang boleh di tutup.

Melabur kepada alat yang Cekap Tenaga memang bermanfaat. Terdapat kes-kes di mana, duit yang dijimatkan melalui penjimatan kos tenaga dapat memulangkan kos malbur dalam beberapa tahun.

Sila baca Label Panduan Tenaga dengan betul, pastikan anda membanding alatan yang setara. Penggunaan tenaga mempunyai perbezaan yang besar dalam jenama yang sama. Jangan tertipu dengan jualan murah dan janji daripada promoter.

Beli peralatan yang sesuai untuk keluarga adalah penting. Pembelian yang lampau akan menyebabkan pembaziran wang dan juga penggunaan tenaga.

Jika peralatan elektrik melebihi 10 – 15 tahun, praktikkan penukaran semula kepada peralatan baru yang cekap tenaga.

Pastikan logo “EnergyStar" ada pada peralatan cekap tenaga. Ini menunjukkan persijilan daripada pihak-pihak kerajaan atau pensijilan menbuktikan peralatan ini menggunakan tenaga elektrik secara cekap.

Jangan lupa untuk bertanyakan tentang jaminan, maklumat servis, penghantaran, dan kos pemasangan.

Pastikan anda memilih penjual yang bereputasi dan perpengalaman. Penjual yang baik boleh membantu anda untuk mengira pejimatan tenaga dan jangkamasa pulangan. Pada masa yang sama dapat memberikan pilihan yang banyak.

Pastikan anda sedar akan hak anda untk mendapatkan pengetahuan tentang produk. Peralatan yang rosak patut diganti (pastikan kad jaminan di simpan).

Dalam mempraktikkan hak anda, jika pemborong atau penjual gagal untuk memberikan tuntutan anda, sila laporkan kepada Pusat Aduan Pengguna Nasional (NCCC). (layari http://www.nccc.org.my atau panggil +603-78779000)


ok x? kalau nak jimat lagi potong terus bekalan elektrik then duk dalam gua. hahaha ok bye.

Pencerobohan RSAF ke ruang udara Malaysia sensitif

RAKYAT Malaysia boleh dimaafkan jika timbul persepsi bahawa mereka tidak begitu mengambil endah mengenai berita pencerobohan ruang udara negara oleh tentera asing kerana pada dasarnya perkara itu jarang sekali berlaku.

Malah di kawasan tuntutan bertindih seperti Kepulauan Spratly dan kawasan perairan sebelah timur Sabah dalam Lembah Tarakan iaitu ND6 dan ND7, walaupun dianggap kawasan panas, isu pencerobohan jarang sekali kedengaran.

Tetapi agak memeranjatkan apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa sebanyak 2,508 pergerakan pesawat tentera udara Singapura (RSAF) dikesan menceroboh ruang udara negara sejak 2008. Sudah acap kali rupanya kedaulatan negara diceroboh dan paling menyedihkan setiap kali ia berlaku secara berkala dan sistematik.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa pencerobohan jet pejuang RSAF ini berlaku kerana ruang udara republik itu begitu sempit yang menyebabkan jet tersebut terpaksa memasuki ruang udara Malaysia tetapi isunya adalah Kuala Lumpur tidak pernah memberi kebenaran untuk membolehkan jet RSAF memasuki ruang udara negara.

Tambahan pula, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura dianggap paling menarik dan istimewa kerana mempunyai ciri-ciri unik yang penuh dengan cabaran dan pantang larangnya tersendiri. Malah hubungan Malaysia dengan jiran terdekat lain seperti Thailand, Brunei, Filipina dan Indonesia tidak boleh diletakkan dalam kelas yang sama dengan Singapura.

Sebab itu, isu pencerobohan ruang udara oleh jet RSAF walaupun dianggap remeh oleh Singapura tetapi sebaliknya pula pada tanggapan rakyat Malaysia. Kali terakhir berita mengenai pencerobohan ruang udara berlaku pada Mac 2006 apabila pesawat tanpa pemandu (UAV) yang dipercayai milik RSAF didapati menceroboh ruang udara negara di Gelang Patah, Johor.

Peristiwa yang dianggap remeh menjadi panas apabila dihebahkan UAV Singapura tersebut menggunakan teknologi pengintipan Israel dan UAV dari jenis yang sama banyak digunakan oleh rejim tersebut untuk memantau pergerakan penduduk Palestin sama ada di Semenanjung Gaza atau Tebing Barat.

Tidak diketahui apakah motif sebenar pencerobohan di Gelang Patah tetapi daripada gaya penerbangan yang dilakukan berdekatan dengan sempadan Malaysia dan ditambah pula deruman bunyi bising, ia seolah-olah ingin menghebahkan kepada rakyat Malaysia akan kehadiran UAV pengintipan Singapura. Sukar untuk menafikan bahawa pencerobohan tersebut dilakukan dengan sengaja.

Sama juga dengan pencerobohan berkala oleh jet pejuang RSAF, persepsi rakyat Malaysia adalah ia sengaja dilakukan dan alasan ruang udara yang sempit hanyalah alasan yang diada-adakan untuk menutup niat sebenar tersirat.

Perlu diungkitkan bahawa Malaysia dan Singapura sebelum ini mempunyai perjanjian penggunaan ruang udara yang antara lain membenarkan jet pejuang RSAF yang berpangkalan di Paya Lebar menggunakan ruang udara Johor Selatan.

Perjanjian ini juga membenarkan jet pejuang RSAF yang berlepas dari Pangkalan Udara Tengah menggunakan ruang udara Johor. Ini adalah kerana reka bentuk landasan pangkalan itu membuatkan sukar bagi juruterbang jet RSAF yang baru berlepas untuk mengelak dari memasuki ruang udara Malaysia.

Tetapi apa yang lebih penting adalah perjanjian ini juga membenarkan jet pejuang RSAF menjalankan latihan dalam kawasan penerbangan rendah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Soal pencerobohan kedaulatan timbul apabila terdapat beberapa ketika jet pejuang RSAF mengambil kesempatan daripada perjanjian ini untuk melakukan penerbangan di luar kawasan yang telah ditetapkan.

Untuk menghindar ruang udara diceroboh sesuka hati, maka perjanjian itu ditamatkan pada 18 September 1998. Perjanjian tersebut hampir dihidupkan kembali pada 2004 apabila Perdana Menteri kita pada ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Kanan Singapura, Goh Chok Tong membincangkan mengenai isu- isu tertunggak di antara kedua-dua negara pada 13 Disember 2004. Tetapi oleh kerana mendapat bantahan rakyat Malaysia, hasrat untuk membenarkan penggunaan ruang udara kepada RSAF terpaksa dilupakan.

Peruntukan pertahanan RSAF adalah dianggap paling mewah jika hendak dibandingkan dengan organisasi angkatan tentera negara lain yang bukan sahaja membolehkan mereka memperolehi kelengkapan terbaik, malah mampu mendapatkan latihan yang terbaik dan ini termasuklah mendapatkan kemudahan ruang udara untuk tujuan latihan juruterbang mereka.
Singapura juga mempunyai berbagai kerjasama latihan dengan beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia dan Thailand. Latihan ketenteraan seperti Stardex dan Pitch Black yang dilaksanakan bersama-sama dengan AS dan Australia sudah melebihi daripada mencukupi apa yang diperlukan oleh juruterbang RSAF.
Malah juruterbang RSAF mempunyai latihan penerbangan yang terbaik kerana rata-rata juruterbang mereka membuat penerbangan sekitar 180 hingga 200 jam setiap tahun iaitu satu jangka masa penerbangan melebihi dari apa yang diperlukan.

Hakikatnya adalah Malaysia tidak perlu memberi kelonggaran penggunaan ruang udara negara kepada Singapura kerana RSAF telah mempunyai segala-galanya. Sikap sebegini tidak boleh dianggap sebagai satu penganiayaan atau tidak mahu bertolak ansur kerana Singapura mempunyai alternatif yang lebih baik.

Begitu juga dengan Singapura adalah tidak adil untuk menggunakan Malaysia hanya untuk kepentingan diri sendiri. Dengan peruntukan yang besar dan kepakaran sedia ada, Singapura sudah pasti dapat menyelesaikan masalah penggunaan ruang udara tanpa bergantung kepada Malaysia.

Menarik juga apabila Ahmad Zahid berkata, Malaysia tidak ‘berhajat’ untuk menimbulkan masalah dengan Singapura dan berharap negara jiran itu tiada agenda melakukan sebarang provokasi. “Kita merasakan negara terbaik adalah negara yang tidak menyebabkan jirannya menaruh prasangka. Kalau memaku dinding, perlu diingat, rumah sebelah turut mendengar bunyi bising? sindir beliau.

Azmi Hassan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...