Wednesday, June 29, 2011

Pemanasan Global Kesan Kepada Kita

RAMAI mengeluh cuaca sekarang semakin panas. Kepanasan matahari semakin terik terutama pada tengah hari. Mereka turut mengaitkan kemungkinan kepanasan itu balasan kepada manusia kerana sering melakukan kerosakan di muka bumi.


Pandangannya itu mungkin benar dan tidak tetapi apa yang nyata kerosakan yang dilakukan manusia ke atas bumi memang tidak dapat dinafikan sejak berabad lalu. Penebangan hutan secara tidak terkawal, pencemaran industri, penggunaan bahan bakar fosil secara berleluasa dan pelepasan gas rumah hijau antara contoh ‘kerosakan’ yang dilakukan manusia hingga memberi kesan terhadap bumi.

Berdasarkan laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC), suhu dunia diramal meningkat daripada 1.1 darjah Selsius kepada 6.4 darjah Selsius antara 1990 dan 2100. Jika ramalan itu menjadi kenyataan, bumi akan semakin panas dalam tempoh seabad lagi dan mungkin tidak selamat lagi. Ini berikutan pemanasan global mempunyai banyak kaitan dengan pelbagai bencana alam. Kenaikan suhu itu boleh mencairkan ais di kutub dan meningkatkan paras air laut. Risiko banjir besar boleh berlaku jika perkara itu berlaku, malah beberapa kepulauan kecil boleh tenggelam. Beberapa kawasan lain yang beriklim panas pula menerima taburan hujan yang banyak tetapi tanah di situ menjadi lebih cepat kering disebabkan penyejatan air yang berlaku dengan cepat. Kerosakan akan berlaku ke atas tanaman dan haiwan menyebabkan bekalan makanan berkurangan di beberapa tempat di dunia.

Akhbar melaporkan kajian terbaru IPCC mendapati suhu purata Malaysia dianggarkan meningkat antara 0.6 darjah Selsius hingga 4.5 darjah Selsius menjelang 2060. Kajian itu turut menyebut kawasan pantai dan penempatan seluas 1,200 kilometer persegi akan tenggelam jika langkah pencegahan awal diabaikan berikutan pemanasan global yang menyebabkan peningkatan paras laut.


Dalam ucapan perasmian Forum Kesan Pemanasan Global Ke atas Strategi Pengairan di Malaysia, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, dilaporkan berkata secara kasar, senario pemanasan global dijangka meningkatkan suhu 4.5 darjah Selsius dengan pengurangan 10 peratus hujan sekali gus mengurangkan kadar penerimaan air antara 13 peratus dalam musim tengkujuh dan 53 peratus musim kemarau. “Peningkatan aras laut pula mampu menghasilkan gelombang ganas yang mengancam garis pantai dan struktur hakisan pantai, pemusnahan zon penampan paya bakau yang mengakibatkan kerosakan habitat asli serta kehidupan akuatik seperti ketam, ikan, udang, flora dan fauna. “Cendekiawan juga menganggarkan lebih ramai orang akan terkena penyakit atau mati kerana tekanan cuaca panas dengan wabak penyakit yang biasa ditemui di daerah tropika seperti disebabkan nyamuk atau haiwan pembawa penyakit lain,” katanya.

Kebimbangan sama turut disuarakan Pengarah Hal Ehwal Iklim Universiti Malaya (UMCCA), Profesor Dr Khairulmaini Osman Salleh, ketika membentangkan kertas kerja Fenomena El Nino di Masjid Kariah Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini. Beliau berkata, suhu bumi yang kian meningkat mengakibatkan kehidupan menghadapi satu ancaman besar berikutan berlakunya bencana alam lebih kerap dengan tempoh semakin meluas. Menurutnya, sebanyak 95 peratus punca suhu bumi yang semakin meningkat itu mempunyai kaitan dengan aktiviti manusia, terutama membabitkan penggunaan bahan bakar fosil. “Sejak 10 tahun kebelakangan ini, manusia semakin terancam berikutan bencana kerap berlaku. Taufan, banjir, kemarau dan wabak penyakit berkaitan alam sekitar semakin kerap dan ancamannya bertambah meluas. “Senario pemanasan global turut menggiatkan kesan El Nino, terutama membabitkan kejadian kemarau dan banjir. El Nino akan mempengaruhi iklim dunia mengakibatkan sesetengah tempat kemarau manakala sesetengah lagi banjir,” katanya. Beliau berkata, El Nino merujuk kepada pemanasan tempatan di pinggir Peru dan Equador di Amerika Selatan serta perubahan suhu permukaan laut di Lautan Pasifik Khatulistiwa. “El Nino berlaku dalam selangan tiga ke tujuh tahun apabila suhu permukaan laut di bahagian barat Lautan Pasifik jatuh beberapa darjah Selsius manakala di timur Lautan Pasifik naik beberapa darjah Selsius. 



Tempoh berlaku El Nino antara 12 hingga 18 bulan merangkumi permulaan, pertumbuhan, kematangan dan kereputan. “Kejadian itu adalah peristiwa semula jadi di Lautan Pasifik dan kebiasaannya selepas El Nino, La Nina atau musim sejuk atau musim biasa akan datang,” katanya yang juga Profesor Jabatan Geografi Universiti Malaya. 

El Nino yang berlaku pada 1997 dan 1998 dikatakan paling besar pada kurun ke-20 apabila suhu permukaan lautan naik lima hingga enam darjah Selsius. “Pada 2006, El Nino tidak kuat, bagaimanapun ia bukan bermakna kejadian lebih besar tidak boleh berlaku tetapi kita tidak tahu bila masanya kerana teknologi sekarang hanya mampu meramal untuk jangka masa pendek. “Lebih membimbangkan, trend kejadian El Nino sejak 50 tahun kebelakangan ini menunjukkan sifat peningkatan suhu permukaan laut,” katanya. Dr Khairulmaini berkata, pengkaji juga bimbang dengan pola kejadian El Nino yang semakin bertambah kuat dan tidak dapat menjangkakan bila ia akan berlaku. Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini, ramalan mendapati kekuatan El Nino menurun sehingga lewat Mac ini saja. “Selepas itu kita tidak tahu, mungkin ia seteruk 1997 atau lebih buruk lagi kerana senario kepanasan bumi yang semakin meningkat.

Peristiwa semula jadi itu akan memberi kesan kepada kesihatan, pertanian, perhutanan, sumber air, pinggir laut dan ekosistem serta habitat,” katanya. Menurutnya, kesedaran mengenai ancaman itu perlu disampaikan kepada masyarakat supaya mereka bersedia dan dapat bertindak berdasarkan keadaan tertentu. “Masyarakat perlu diingatkan supaya berhati-hati dan bersedia menerima kesan El Nino. Masalah komunikasi dan tindakan susulan perlu diatasi agar orang ramai sedar dan mampu bertindak jika berada dalam situasi tertentu,” katanya.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Murtadza Ahmad, pula berpendapat, doa adalah persediaan terbaik dalam menghadapi apa jua ujian Allah seperti bencana alam. “Rasulullah sendiri membuktikan bahawa solat, doa dan dengan izin Allah, masalah kemarau dan banjir dapat diatasi,” katanya. Menurutnya, maksud Surah al-Taghabun 64:11 iaitu ‘Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu’ memberi kesimpulan nyata kepada umat Islam. “Umat Islam perlu kembali mentaati agama dan menjauhi maksiat. Melakukan ibadat berterusan dan banyak berdoa kepada Allah dalam menghadapi ujian,” katanya.

Bagi Penulis, Isu Pemanasan Global atau Global Warming perlu diambil berat bagi setiap manusia sejagat yang ada di dunia ini. kita perlu bendung fenomena ini dari berlaku pada kita ATAUPUN terhadap anak atau cucu cicit dan keturunan kita nanti. Bumi kita dah menderita akibat kekejaman kita dan sifat tamak kita terhadap bumi kita ini. Jadi.. fikir-fikirkanla..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...