RAKYAT Malaysia boleh dimaafkan jika timbul persepsi bahawa mereka tidak begitu mengambil endah mengenai berita pencerobohan ruang udara negara oleh tentera asing kerana pada dasarnya perkara itu jarang sekali berlaku.
Malah di kawasan tuntutan bertindih seperti Kepulauan Spratly dan kawasan perairan sebelah timur Sabah dalam Lembah Tarakan iaitu ND6 dan ND7, walaupun dianggap kawasan panas, isu pencerobohan jarang sekali kedengaran.
Tetapi agak memeranjatkan apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa sebanyak 2,508 pergerakan pesawat tentera udara Singapura (RSAF) dikesan menceroboh ruang udara negara sejak 2008. Sudah acap kali rupanya kedaulatan negara diceroboh dan paling menyedihkan setiap kali ia berlaku secara berkala dan sistematik.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa pencerobohan jet pejuang RSAF ini berlaku kerana ruang udara republik itu begitu sempit yang menyebabkan jet tersebut terpaksa memasuki ruang udara Malaysia tetapi isunya adalah Kuala Lumpur tidak pernah memberi kebenaran untuk membolehkan jet RSAF memasuki ruang udara negara.
Tambahan pula, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura dianggap paling menarik dan istimewa kerana mempunyai ciri-ciri unik yang penuh dengan cabaran dan pantang larangnya tersendiri. Malah hubungan Malaysia dengan jiran terdekat lain seperti Thailand, Brunei, Filipina dan Indonesia tidak boleh diletakkan dalam kelas yang sama dengan Singapura.
Sebab itu, isu pencerobohan ruang udara oleh jet RSAF walaupun dianggap remeh oleh Singapura tetapi sebaliknya pula pada tanggapan rakyat Malaysia. Kali terakhir berita mengenai pencerobohan ruang udara berlaku pada Mac 2006 apabila pesawat tanpa pemandu (UAV) yang dipercayai milik RSAF didapati menceroboh ruang udara negara di Gelang Patah, Johor.
Peristiwa yang dianggap remeh menjadi panas apabila dihebahkan UAV Singapura tersebut menggunakan teknologi pengintipan Israel dan UAV dari jenis yang sama banyak digunakan oleh rejim tersebut untuk memantau pergerakan penduduk Palestin sama ada di Semenanjung Gaza atau Tebing Barat.
Tidak diketahui apakah motif sebenar pencerobohan di Gelang Patah tetapi daripada gaya penerbangan yang dilakukan berdekatan dengan sempadan Malaysia dan ditambah pula deruman bunyi bising, ia seolah-olah ingin menghebahkan kepada rakyat Malaysia akan kehadiran UAV pengintipan Singapura. Sukar untuk menafikan bahawa pencerobohan tersebut dilakukan dengan sengaja.
Sama juga dengan pencerobohan berkala oleh jet pejuang RSAF, persepsi rakyat Malaysia adalah ia sengaja dilakukan dan alasan ruang udara yang sempit hanyalah alasan yang diada-adakan untuk menutup niat sebenar tersirat.
Perlu diungkitkan bahawa Malaysia dan Singapura sebelum ini mempunyai perjanjian penggunaan ruang udara yang antara lain membenarkan jet pejuang RSAF yang berpangkalan di Paya Lebar menggunakan ruang udara Johor Selatan.
Perjanjian ini juga membenarkan jet pejuang RSAF yang berlepas dari Pangkalan Udara Tengah menggunakan ruang udara Johor. Ini adalah kerana reka bentuk landasan pangkalan itu membuatkan sukar bagi juruterbang jet RSAF yang baru berlepas untuk mengelak dari memasuki ruang udara Malaysia.
Tetapi apa yang lebih penting adalah perjanjian ini juga membenarkan jet pejuang RSAF menjalankan latihan dalam kawasan penerbangan rendah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Soal pencerobohan kedaulatan timbul apabila terdapat beberapa ketika jet pejuang RSAF mengambil kesempatan daripada perjanjian ini untuk melakukan penerbangan di luar kawasan yang telah ditetapkan.
Untuk menghindar ruang udara diceroboh sesuka hati, maka perjanjian itu ditamatkan pada 18 September 1998. Perjanjian tersebut hampir dihidupkan kembali pada 2004 apabila Perdana Menteri kita pada ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Kanan Singapura, Goh Chok Tong membincangkan mengenai isu- isu tertunggak di antara kedua-dua negara pada 13 Disember 2004. Tetapi oleh kerana mendapat bantahan rakyat Malaysia, hasrat untuk membenarkan penggunaan ruang udara kepada RSAF terpaksa dilupakan.
Peruntukan pertahanan RSAF adalah dianggap paling mewah jika hendak dibandingkan dengan organisasi angkatan tentera negara lain yang bukan sahaja membolehkan mereka memperolehi kelengkapan terbaik, malah mampu mendapatkan latihan yang terbaik dan ini termasuklah mendapatkan kemudahan ruang udara untuk tujuan latihan juruterbang mereka.
Singapura juga mempunyai berbagai kerjasama latihan dengan beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia dan Thailand. Latihan ketenteraan seperti Stardex dan Pitch Black yang dilaksanakan bersama-sama dengan AS dan Australia sudah melebihi daripada mencukupi apa yang diperlukan oleh juruterbang RSAF.
Malah juruterbang RSAF mempunyai latihan penerbangan yang terbaik kerana rata-rata juruterbang mereka membuat penerbangan sekitar 180 hingga 200 jam setiap tahun iaitu satu jangka masa penerbangan melebihi dari apa yang diperlukan.
Hakikatnya adalah Malaysia tidak perlu memberi kelonggaran penggunaan ruang udara negara kepada Singapura kerana RSAF telah mempunyai segala-galanya. Sikap sebegini tidak boleh dianggap sebagai satu penganiayaan atau tidak mahu bertolak ansur kerana Singapura mempunyai alternatif yang lebih baik.
Begitu juga dengan Singapura adalah tidak adil untuk menggunakan Malaysia hanya untuk kepentingan diri sendiri. Dengan peruntukan yang besar dan kepakaran sedia ada, Singapura sudah pasti dapat menyelesaikan masalah penggunaan ruang udara tanpa bergantung kepada Malaysia.
Menarik juga apabila Ahmad Zahid berkata, Malaysia tidak ‘berhajat’ untuk menimbulkan masalah dengan Singapura dan berharap negara jiran itu tiada agenda melakukan sebarang provokasi. “Kita merasakan negara terbaik adalah negara yang tidak menyebabkan jirannya menaruh prasangka. Kalau memaku dinding, perlu diingat, rumah sebelah turut mendengar bunyi bising? sindir beliau.
Azmi Hassan
No comments:
Post a Comment